MENU

CUKAI TAKSIRAN

1. APAKAH ITU CUKAI TAKSIRAN?

Cukai taksiran adalah cukai yang dikenakan ke atas bangunan kediaman, perniagaan, perusahaan dan tanah kosong yang terletak di dalam kawasan Majlis Daerah Perak Tengah. Bangunan-bangunan milik kerajaan dan Badan Berkanun juga dikenakan cukai tetapi ia disebut Caruman Membantu Kadar.

2. BAGAIMANA CUKAI TAKSIRAN DIKENAKAN?

Ia dilakukan melalui proses nilaian berpandukan nilai tahunan dan kadar peratus yang diwartakan.“Nilai Tahunan” ertinya anggaran kasar sewa tahunan yang munasabah dijangka akan diperolehi dari setahun ke setahun dari pegangan yang berkenaan jika ia disewakan.

3. BAGAIMANA PEMBAYARAN HARUS DILAKUKAN

Pembayaran boleh dibuat secara tunai, kad kredit dan cek di kaunter pembayaran MDPT atau pun kaunter pembayaran di mana-mana PBT di dalam Negeri Perak. Selain itu pembayar juga boleh menjelaskan cukai melalui pos secara cek, kiriman wang pos ataupun bank draf. Selain itu pembayaran boleh juga dilakukan melalui Maybank2u, Pejabat Pos, Pos Online, BSN dan Bank Rakyat

4. BILAKAH BIL-BIL DIHANTAR?

Bil Cukai Taksiran akan dihantar kepada pemilik selewat-lewatnya pada minggu kedua bulan Januari untuk separuh tahun pertama dan juga selewat-lewatnya minggu kedua bulan Julai untuk separuh tahun kedua.

5. NOTIS JUALAN ATAU PINDAH MILIK

Mengikut seksyen 160, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (171) 160, apabila sesuatu pegangan berkadar dalam sesuatu kawasan pihak berkuasa tempatan dijual atau dipindah milik, pembeli atau penerima perlu membuat pindah milik dalam tempoh 3 bulan selepas jualan atau pindah milik, notis mengenainya harus diberi kepada pihak berkuasa tempatan dalam Borang I yang boleh didapati di kaunter semakan cukai taksiran di Pejabat Majlis. Dokumen-dokumen yang diperlukan ialah salinan geran terkni / surat perjanjian atau Borang 14A berserta resit bayaran di Pejabat Tanah dan Galian, salinan cukai taksiran terkini dan salinan kad pengenalan.

6. TEMPOH PEMBAYARAN CUKAI TAKSIRAN AM

Cukai Taksiran boleh dibayar dua kali setahun iaitu pada atau sebelum 28 Februari bagi separuh tahun pertama dan pada atau sebelum 31 Ogos bagi separuh tahun kedua. Sekiranya pemilik ingin membayar cukai setahun mereka bolehlah membayar sebelum 28 Februari bagi tahun berkenaan

7. TINDAKAN-TINDAKAN JIKA CUKAI TIDAK DIJELASKAN

Tarikh bayaran untuk mengelakkan denda adalah : separuh tahun pertama mulai 1hb Jan. hingga 28hb. Feb. dan separuh tahun kedua mulai 1hb Julai hingga 31hb Ogos pada setiap tahun. Pemilik akan dikenakan denda lewat bayaran mengikut seksyen 147(1) Akta 171,1976.

8. PERUBAHAN ATAS BANGUNAN/HARTANAH

Pemilik hendaklah memberitahu kepada Majlis sekiranya terdapat perubahan atas bangunan: • Bangunan dibina tambahan • Bangunan baru dibina • Bangunan runtuh • Bangunan terbakar • Bangunan di ubah ketempat lain • Bangunan telah dijual/dipindah milik Kegagalan memberitahu kepada Majlis akan membebankan kepada pemilik dari segi bayaran cukai taksiran yang dikenakan.

9. TIDAK MAMPU UNTUK MENJELASKAN TUNGGAKAN

Adakah saya perlu membayar cukai sekiranya rumah yang saya duduki adalah rumah sewa yang mempunyai tunggakan? Ya, membayar cukai adalah tanggungjawab pemilik rumah. Sekiranya berlaku perkara seperti diatas maka penyewa boleh membayar cukai melalui potongan sewa untuk mengelakkan harta/rumah sewa anda disita. Apakah yang perlu saya lakukan sekiranya jumlah wang tunggakan dalam bil adalah di luar kemampuan saya untuk membayarnya? Sekiranya bayaran penuh tidak dapat dijelaskan, maka dalam kes-kes tertentu bayaran boleh dilakukan secara ansuran.

10. APAKAH PERBEZAAN 'CUKAI TAKSIRAN dan 'CUKAI TANAH'?

Cukai Taksiran atau juga dikenali sebagai "Cukai Pintu' dibayar kepada pihak Berkuasa Tempatan dan perlu dibayar dua kali setahun. Cukai Tanah adalah cukai yang dikenakan bagi tanah hak persendirian dan wajib dibayar sekali setahun kepada pihak Berkuasa Negeri.