Skip to main content

Aktiviti & Program

MPAJ KUNJUNGI PBBSF MDPT, TEROKA PENDEKATAN PENGURUSAN SISA MAKANAN BERSAMA KOMUNITI

13 Oktober 2026 – Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengadakan lawatan penanda aras ke Pusat Bioremediasi Black Soldier Fly (BSF) MDPT bagi mendapatkan pendedahan mengenai pengoperasian pusat bioremediasi, pengurusan sisa makanan dan pendekatan pembangunan keupayaan komuniti melalui teknologi BSF pada skala yang lebih teratur dan sistematik.
Delegasi MPAJ diketuai oleh Ketua Bahagian Unit Kitar Semula MPAJ, Cik Razan Izzati binti A. Rashid, bersama pegawai jabatan serta wakil komuniti Ampang. Lawatan itu memberi ruang kepada delegasi untuk meneliti pendekatan yang dilaksanakan MDPT dalam mengurus sisa makanan, termasuk proses pembiakan dan penternakan BSF, penyelenggaraan sistem serta penghasilan produk daripada proses biokonversi. Turut bersama pada sesi tersebut ialah Tuan Setiausaha MDPT iaitu Tuan Hidhayat bin Mansor selaku pengurusan tertinggi MDPT yang sentiasa memberi komitmen penuh dalam pelbagai aktiviti yang melibatkan Pembangunan Minda Masyarakat khusus kepada Projek BSF MDPT.
Selain perkongsian teknikal, lawatan tersebut turut mengetengahkan pendekatan MDPT dalam membimbing komuniti supaya memahami dan melaksanakan pengurusan sisa makanan secara lebih terancang. Melalui perkongsian pengalaman dan pembelajaran secara praktikal, komuniti berpeluang memahami kepentingan pengasingan sisa di punca, pengendalian bahan yang sesuai serta pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP).
Pendekatan PBBSF MDPT turut memberi penekanan kepada kerjasama antara pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan, sektor swasta, institusi pendidikan dan komuniti. Kerjasama sedemikian penting bagi menyokong perkongsian kepakaran, pelaksanaan program bimbingan dan pendidikan alam sekitar, selain membuka peluang untuk memperluas amalan pengurusan sisa makanan di peringkat komuniti.
Melalui konsep “Sisa Ke Nilai”, sisa makanan yang sesuai berpotensi diproses melalui biokonversi BSF untuk menghasilkan bahan yang boleh dimanfaatkan. Pendekatan ini menyokong usaha mengurangkan sisa makanan yang dihantar untuk pelupusan, di samping menggalakkan amalan ekonomi kitaran dan penggunaan sumber secara lebih bertanggungjawab.
Lawatan penanda aras ini diharapkan dapat memperkukuh perkongsian pengalaman antara MDPT dengan MPAJ serta membantu penerokaan pendekatan BSF yang bersesuaian untuk dilaksanakan bersama komuniti. Usaha berterusan melalui bimbingan, kerjasama strategik dan penyertaan masyarakat penting bagi membina sistem pengurusan sisa yang lebih berkesan dan mampan.
#MDPerakTengahXMPAJ
#PBBSF
#BlackSoldierFly
#LocalAgenda21
#PerakBersihSihat
#PerakSejahtera2030
#EkonomiKitaran
#MengurusSisaMenciptaNilai

BSFMPAJ

BSFMPAJ 1

BSFMPAJ 2

BSFMPAJ 3

BSFMPAJ 4

BSFMPAJ 5

BSFMPAJ 6

BSFMPAJ 7